
COLOMBO: Sri Lanka mengerahkan anggota tentera bersenjata lengkap ke penjara kawalan maksimum utama negara itu hari ini selepas cubaan banduan melarikan diri gagal.
Ratusan anggota tentera dan komando polis dikerahkan mengawal kawasan sekitar Penjara Welikada selepas rusuhan tercetus malam tadi, dengan sembilan banduan dilaporkan cedera.
Puluhan banduan dipercayai keluar dari sel dan memanjat ke bumbung sebuah bangunan penjara kira-kira tengah malam, sebelum berlaku pergelutan dengan pengawal.
Seorang pegawai penjara berkata keadaan kini berjaya dikawal, namun rusuhan sama turut dilaporkan berlaku di sebuah lagi penjara di Kuruwita, kira-kira 80 kilometer tenggara Colombo.
Empat banduan di Kuruwita cedera dalam rusuhan itu.
Sejak Julai, 10 pengawal dan 23 banduan terbunuh dalam dua rusuhan berasingan di dua penjara lain di luar Colombo.
Pegawai mengaitkan peningkatan rusuhan dengan masalah kesesakan di penjara, yang kini menempatkan kira-kira empat kali ganda jumlah banduan berbanding kapasiti asal.
Bulan lalu, pihak berkuasa mengumumkan rancangan untuk menukar bangunan kerajaan yang tidak lagi digunakan kepada penjara, namun kemudahan baharu masih belum dibangunkan.
Lebih tiga perempat banduan di Sri Lanka merupakan tahanan reman yang masih menunggu perbicaraan, dengan kebanyakannya ditahan berkaitan kesalahan dadah.
The post Sri Lanka kerah tentera kawal penjara selepas rusuhan appeared first on Utusan Malaysia.






