“Suapan Terakhir Daripada Mu Sahabat” – Hantaran Rakan Undang Sebak, Aidil Pergi Selepas Selamatkan Nyawa Pesakit Lain

LocalHealth & Fitness
20 Nov 2026 • 7:36 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Suapan Terakhir Daripada Mu Sahabat” – Hantaran Rakan Undang Sebak, Aidil Pergi Selepas Selamatkan Nyawa Pesakit Lain

KOTA BHARU: “Suapan terakhir daripada mu sahabat.”

Itu luahan seorang wanita menerusi Threads yang menyentuh hati ramai selepas berkongsi video kenangan bersama sahabatnya, Muhammad Aidil bin Zupardi, 23, sebelum pemuda itu meninggal dunia susulan kemalangan jalan raya.

Hantaran oleh pengguna Threads, @syasylvie, memaparkan Aidil sedang menghidangkan kek kepada rakan-rakannya dalam suasana santai.

Video itu kemudian menjadi kenangan terakhir yang dikongsikan wanita berkenaan, sebelum beliau memuat naik satu lagi hantaran mengenai penghormatan terakhir buat Aidil menerusi upacara Walk of Honour.

“Walk of honour for Aidil, terima kasih telah selamatkan 10 nyawa lain. Semoga syurga buat mu sahabat,” tulisnya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang menyampaikan ucapan takziah serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.

Dalam ruangan komen, wanita berkenaan turut memperkenalkan sahabatnya itu sebagai Muhammad Aidil bin Zupardi apabila seorang pengguna bertanyakan identiti pemuda yang disifatkan sebagai insan hebat.

Keluarga Setuju Dermakan Organ Aidil

Di sebalik kesedihan rakan-rakan menerima berita pemergiannya, Aidil meninggalkan satu sumbangan besar apabila keluarganya bersetuju membenarkan beberapa organ dan tisu Allahyarham didermakan kepada pesakit yang memerlukan.

Menurut laporan media tempatan, Aidil berusia 23 tahun dan mengalami kemalangan motosikal sebelum disahkan mengalami kematian otak oleh pihak perubatan.

Ibunya, Che Sharifah Che Mat Soud, berkata keluarga membuat keputusan itu selepas mendapat penerangan doktor mengenai keadaan Allahyarham serta peluang organ-organ berkenaan membantu pesakit lain.

Walaupun Aidil tidak pernah mendaftar secara rasmi sebagai penderma organ, ibunya memaklumkan anaknya pernah menyatakan hasrat untuk membantu orang lain melalui pendermaan organ.

Pihak hospital berjaya mendapatkan beberapa organ dan tisu termasuk tulang, hati, buah pinggang serta kornea untuk tujuan pemindahan.

Penghormatan Terakhir Buat Seorang Sahabat

Pihak HPUSM turut mengadakan upacara Walk of Honour sebagai tanda penghormatan kepada Aidil dan keluarganya atas keputusan murni membenarkan pendermaan organ.

Jenazah Allahyarham kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Pengkalan Chepa pada 19 November lalu.

Bagi sahabat-sahabatnya, Aidil bukan sekadar seorang teman yang meninggalkan kenangan, tetapi insan yang pemergiannya turut memberi harapan kepada pesakit lain untuk meneruskan kehidupan.

Hantaran ringkas tentang “suapan terakhir” itu akhirnya menjadi satu kenangan yang cukup bermakna buat mereka yang pernah mengenali Allahyarham. – The Malaysian Update

The post “Suapan Terakhir Daripada Mu Sahabat” – Hantaran Rakan Undang Sebak, Aidil Pergi Selepas Selamatkan Nyawa Pesakit Lain appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved