
KAJANG – “Kalau saya tidak aktif dalam angkat berat, mungkin sekarang saya memancing di laut!
Itu luahan juara angkat berat Perlis, Muhammad Aimran Syahir Roslin, selepas menamatkan saingan 71 kilogram (kg) lelaki dengan penuh bergaya pada Sukan Malaysia (Sukma) di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), hari ini.
Turun dengan misi memburu emas pada penampilan terakhirnya di pentas Sukma, Aimran nyata terlalu unggul apabila mengumpul jumlah angkatan 275kg menerusi 125kg dalam acara snatch dan 150kg bagi clean & jerk.
Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir ketika dia terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan lutut kanan yang dialami secara tiba-tiba ketika sesi pemanas badan.
Aimran mengakui kecederaan berkenaan sedikit menjejaskan persembahannya sehingga terpaksa melupakan hasrat untuk melakukan angkatan 160kg dalam clean & jerk.
“Walaupun gembira dapat memenangi pertandingan, saya agak kecewa kerana ini bukan angkatan terbaik saya.
“Ini baru sekitar 70 peratus daripada kemampuan saya kerana mengalami kecederaan baharu pada lutut kanan ketika berada di tempat pemanasan badan.
“Sebab itu saya terpaksa menurunkan sedikit jumlah berat. Sepatutnya bebanan itu mudah untuk saya, tetapi perkara ini berlaku secara tiba-tiba. Namun, saya tetap perlu melawan,” katanya.
Pingat perak menjadi milik wakil Pahang, Muhammad Amin Khairul Anuar, yang mengumpul 263kg menerusi 110kg snatch dan 153kg clean & jerk, manakala gangsa diraih wakil Terengganu, Izzat Hazmi Tanaim Ishak dengan jumlah 256kg hasil angkatan 110kg snatch dan 146kg clean & jerk.
Kemenangan Aimran turut menghadiahkan emas kedua buat kontinjen Perlis dalam angkat berat, selepas Nurqalida Umirah Abdullah terlebih dahulu mengungguli acara 58kg wanita.
Bagi Aimran, perjalanan dalam sukan angkat berat bermula selepas dia meninggalkan bola sepak dan mencuba disiplin tersebut sebelum mendapat sokongan penuh daripada keluarganya.
“Sebelum ini saya main bola, tetapi faham-faham sahajalah persaingannya. Apabila saya cuba angkat berat, saya rasa lebih kuat dan keluarga pun memberikan sokongan,” katanya.
Untuk rekod, Sukma kali ini menjadi penampilan terakhir Aimran selepas sebelum ini meraih gangsa pada edisi 2022 dalam kategori 61kg, sebelum menukar warna pingat kepada emas dalam kategori 67kg pada edisi dua tahun lalu.
Kini, emas 71kg yang diraih di Kajang menjadi penutup manis perjalanan Sukma buat badang Perlis itu sekali gus membuktikan bahawa kecederaan bukan penghalang untuknya mengangkat maruah negeri di pentas sukan kebangsaan. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Badang Perlis ‘lawan’ sakit demi emas appeared first on Kosmo Digital.






