Kejutan ibu hadirkan emas buat Nurqalida

17 Aug 2026 • 3:46 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kejutan ibu hadirkan emas buat Nurqalida

KAJANG: Kehadiran ibu memberi tonik tambahan kepada atlet angkat berat Perlis, Nurqalida Umirah Abdullah untuk meraih pingat emas kategori 58 kilogram (kg) wanita di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

Dalam aksi di Dewan Sri Cempaka MPKJ itu, Nurqalida yang berusia 17 tahun melakukan angkatan 76kg dalam snatch dan 88kg dalam clean and jerk untuk mengumpul jumlah keseluruhan 164kg bagi merangkul pingat emas.

Atlet Sarawak, Irene Tiang Ming Jie berpuas hati dengan perak menerusi angkatan keseluruhan 130kg (57kg, 73kg), manakala gangsa menjadi milik atlet Pahang, Siti Nur Alya Maisarah Suid dengan angkatan 123kg (53kg, 70kg).

Bagi Nurqalida, kehadiran ibunya, Siti Salmah Sharif secara tiba-tiba menjadi momen cukup istimewa apatah lagi insan tersayang itu tidak memaklumkan kepadanya terlebih dahulu mengenai kehadirannya ke venue pertandingan.

“Saya nak tujukan kejayaan ini terutamanya kepada keluarga saya. Jurulatih saya juga bersusah payah melatih saya ketika sesi latihan. Dia selalu beri kata-kata semangat. Emak saya pun ada juga ketika jatuh dan bangun saya.

“Emak datang tak bagi tahu saya. Lepas naik di atas pentas baru saya perasan emak ada datang,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan, hari ini.

Katanya, kehadiran ibunya cukup bermakna kerana dia sudah kehilangan bapanya pada 2021 akibat kanser hati, yang selama hayatnya sentiasa menjadi antara individu penting dalam memberikan sokongan kepadanya.

“Pada mulanya saya adalah atlet jalan kaki tapi masalah asma menyebabkan saya berhenti dan mula ceburi sukan angkat berat. Ayah sentiasa memberi sokongan kepada saya ceburi bidang sukan apa pun,” katanya.

Menurut Nurqalida, kejayaan meraih emas itu juga cukup melegakan kerana ia sememangnya menjadi sasaran utamanya pada edisi SUKMA kali ini selepas hanya membawa pulang pingat perak dalam kategori 55kg pada edisi 2024 di Sarawak.

“Awal-awal saingan memang rasa takut, tapi jurulatih bagi kata-kata semangat dan saya mula beranikan diri. Lagi pun tahun ini memang saya sasar untuk menang pingat emas,” katanya yang memasang impian untuk menyertai kem angkat berat negara.- UTUSAN

The post Kejutan ibu hadirkan emas buat Nurqalida appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved