Sukma 2026: Kuartet 4x100m wanita Sarawak cipta ‘magis’ raih emas

17 Aug 2026 • 7:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Kuartet 4x100m wanita Sarawak cipta ‘magis’ raih emas

SERDANG – Kuartet 4×100 meter (m) wanita Sarawak mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 dengan penuh kejutan apabila mereka sendiri menyangka mampu menjelmakan emas selepas semua menjangkakan pasukan Terengganu muncul juara.

Pelari terakhir, Ormilla Octavia Codday Nyadau berkata, mereka sudah menjangkakan Terengganu memenangi perlumbaan selepas kuartet lawan meraikan kejayaan lebih awal sebaik melintasi garisan penamat.

Namun, paparan pada papan keputusan elektronik mengubah segalanya apabila nama Sarawak muncul di kedudukan pertama dengan catatan 46.89 saat (s), sekali gus menghadiahkan emas pertama negeri itu dalam acara 4x100m wanita sejak Sukma diperkenalkan pada 1986.

“Kami tidak sangka dapat menang kerana sasaran hanya mahu buat yang terbaik untuk Sarawak dan memperbaharui rekod peribadi pasukan. Kami ingat Terengganu yang menang, jadi apabila nama Sarawak dipaparkan di skrin, kami sangat gembira dan bangga kerana dapat mencipta sejarah untuk negeri,” katanya selepas perlumbaan.

Kuartet Sarawak yang dibarisi Danea Humairah Sharyman Sufry, Alvinia Aivie Jackly, Syarifah Nur Alisya Syed Zafrina dan Ormilla mengetepikan cabaran Terengganu yang meraih perak dengan catatan 46.94s.

Terengganu mempertaruhkan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Nur Aina Syakira Mohd Rafizan, Nor Aliya Najihah Muda dan Jho Jun Lin dalam perlumbaan berkenaan akur meraih perak.

Gangsa pula menjadi milik Johor selepas kuartet yang dianggotai Nabilah Natasha Azizyan, Miesatul Shafieqa Sapi, S Varshini dan Mazurah Saffree mencatat 47.24s.

Lebih mengagumkan, kejayaan bersejarah itu hadir selepas kuartet Sarawak hanya sempat berlatih bersama selama seminggu sebelum Sukma, selain berdepan gangguan jerebu di Kuching yang memaksa mereka memakai pelitup muka ketika menjalani latihan.

“Kami tidak banyak berlatih bersama kerana saya berada di sekolah dan mereka yang lain terpaksa berlatih tanpa saya. Keadaan jerebu juga menyebabkan kami tidak dapat menjalani latihan seperti biasa,” katanya.

Sebagai rekod, pada Sukma Sarawak 2024, kuartet Sarawak sekadar meraih pingat gangsa dalam acara sama. -KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Kuartet 4x100m wanita Sarawak cipta ‘magis’ raih emas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved