
PETALING JAYA – Keberadaan gajah jantan dikenali sebagai Sulong masih menjadi tanda tanya apabila haiwan itu dilaporkan belum kelihatan di sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB), hari ini.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi Facebook Kembalikan DAK yang memaklumkan pihaknya melakukan perjalanan di sekitar laluan berkenaan bagi menjejaki Sulong, namun belum menemui kelibat haiwan tersebut.
Menurut hantaran itu, keadaan JRTB hari ini agak sibuk dengan pergerakan kenderaan, malah terdapat kesan najis gajah ditemui di tepi jalan yang menimbulkan persoalan sama ada ia ditinggalkan Sulong.
“Hari ini JRTB agak sibuk. Di tepi jalan, ada tinggalan tahi gajah. Mungkinkah itu tinggalan Sulong?
“Kami cuma berharap Sulong kini berada jauh di dalam hutan. Selamat daripada bahaya kenderaan dan manusia,” menurut hantaran tersebut.
Mereka turut memaklumkan akan terus menunggu sehingga petang bagi melihat kemungkinan Sulong kembali muncul di laluan berkenaan.
Dalam perkembangan terbaharu, kumpulan itu memaklumkan mereka masih berada di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa dan setakat ini tiada individu dilaporkan terserempak dengan Sulong.
Sebelum ini, Sulong menjadi perhatian ramai selepas beberapa rakaman tular memperlihatkan seekor gajah dipercayai haiwan berkenaan berjalan di sekitar JRTB dengan kecederaan pada kaki kanan hadapan.
Terdahulu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan Sulong dipercayai sudah bergerak masuk ke kawasan hutan di Kelantan selepas tidak lagi dikesan di sepanjang JRTB menuju Jeli.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, anggota jabatan turut digerakkan bagi memantau pergerakan dan keadaan gajah berkenaan menggunakan dron selain pemantauan melalui jalan darat secara berkala.
Menurutnya, dron akan digunakan di lokasi bersesuaian bagi membantu mengesan pergerakan serta kedudukan Sulong, manakala keadaan kecederaan pada kaki hadapannya terus dinilai dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE
The post Sulong ‘menghilang’, tiada siapa terserempak hari ini appeared first on Kosmo Digital.






