
JELI – Gajah jantan liar yang dikenali sebagai Sulong kini sudah bergerak keluar dari laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dan memasuki kawasan hutan di Kelantan.
Perkembangan itu disahkan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berdasarkan pemantauan terkini terhadap pergerakan gajah berkenaan.
Sulong sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas beberapa rakaman menunjukkan gajah tersebut berjalan sendirian di sepanjang JRTB sejak 17 Ogos lalu, dipercayai dalam perjalanan menuju kawasan asalnya di Kelantan.
Rakaman video oleh Leila Watiey yang dikongsikan di TikTok.
Pergerakan Sulong Kini Dipantau Dari Udara
Menurut PERHILITAN, Sulong tidak lagi dikesan berada di sepanjang JRTB menuju Jeli.
Jabatan itu kini menggunakan dron di lokasi yang bersesuaian bagi membantu mengesan kedudukan dan pergerakannya, selain pemantauan melalui rondaan darat secara berkala.
PERHILITAN turut menegaskan bahawa sebarang tindakan untuk menyelamat atau mengendalikan Sulong hanya akan dilakukan apabila gajah berkenaan berada di lokasi yang sesuai dan selamat.
Langkah itu penting bagi mengelakkan risiko tambahan kepada Sulong, anggota operasi serta orang awam.
Keadaan Kaki Sulong Turut Diberi Perhatian
Sulong sebelum ini dikesan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan.
Bagaimanapun, pemantauan PERHILITAN pada 25 Ogos mendapati keadaan fizikal dan tingkah lakunya masih normal. Sulong juga masih mampu makan dan bergerak dengan baik, manakala luka pada kakinya dilaporkan semakin kering dan menunjukkan tanda pemulihan.
Walaupun sudah memasuki hutan Kelantan, belum ada pengesahan bahawa Sulong sudah sampai ke Chalil atau Gua Musang, yang dipercayai merupakan kawasan asalnya.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengejar, menghampiri, merakam dari tepi jalan atau memberi makanan kepada Sulong sekiranya terserempak dengannya. Pengguna jalan raya perlu mematuhi arahan anggota PERHILITAN bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan gajah dan keselamatan pengguna jalan raya.
Buat masa ini, perkembangan terbaharu menunjukkan Sulong sudah berjaya meninggalkan laluan JRTB dan berada di kawasan hutan Kelantan, sementara pergerakannya terus dipantau oleh PERHILITAN. – The Malaysian Update
The post Sulong Terus Melangkah Pulang, Kini Sudah Memasuki Hutan Kelantan appeared first on The Malaysian Update.






