Sultan Pahang Titah Rumah Ru’RASA Jangan Dijual Atau Disewa

15 Sep 2026 • 9:35 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Sultan Pahang Titah Rumah Ru’RASA Jangan Dijual Atau Disewa

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) mengutamakan aspek kualiti meskipun kos pembinaannya rendah.

Baginda bertitah, kediaman berkenaan tidak seharusnya dibina secara sambil lewa kerana ia merupakan tempat perlindungan dan ‘syurga’ bagi sesebuah keluarga.

Image from: Sultan Pahang Titah Rumah Ru’RASA Jangan Dijual Atau Disewa
Kredit: Facebook Kesultanan Pahang

“Saya harap cuba percepatkan, dan saya harap dalam soal pembinaan untuk rumah ini, walaupun harga itu nampak murah, tetapi janganlah beri hasil pembinaan ini secara sambil lewa sahaja. Saya nak ada kualiti sikitlah.

“Jangan buat sambil lewa sahaja kerana saya anggap ini ialah syurga kepada satu-satu keluarga, di mana sekali pun, selagi di atas bumi Pahang ini,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Fasa 2 Daerah Kuantan dan Jerantut di pekarangan tapak Rumah Ru’RASA, Tanjung Lumpur, di sini.

Projek berkenaan dijangka melibatkan pembinaan sebanyak 790 unit rumah di seluruh Pahang bagi menyediakan kediaman selesa kepada rakyat negeri itu.

Pada majlis berkenaan, seramai 11 penerima menerima kunci rumah masing-masing, membabitkan enam penerima dari Kuantan dan lima dari Jerantut.

Jangan Jual Atau Sewakan Rumah

Dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan semua penerima supaya tidak menjual atau menyewakan rumah Ru’RASA kepada pihak lain.

Baginda menegaskan, rumah yang dikurniakan itu disediakan khusus untuk manfaat penerima dan keluarga mereka.

“Janganlah fikir hendak jual atau sewakan. Sewakan pun saya tidak bagi. Ini khas untuk awak semua. Kalau Allah SWT sudah panggil kita (meninggal dunia), turun (diwarisi) ke anak cucu pula.

“Tidak boleh dijual atau disewakan,” titah Baginda.

Cadang Insurans Berkelompok

Selain itu, Baginda turut mengesyorkan supaya satu kajian dibuat bagi mewujudkan skim insurans secara berkelompok kepada kesemua penghuni Ru’RASA.

Menurut Baginda, langkah itu penting bagi melindungi kediaman penerima daripada risiko seperti kebakaran dan kejadian tidak diingini.

“Saya nak nyatakan kalau boleh, semua penghuni-penghuni rumah Rumah Ru’RASA ini, 790 (buah) kalau boleh buat satu insurans berkelompok.

“Supaya mereka (penerima) ini dan rumah-rumah ini dilindungi daripada kebakaran atau sebagainya. Kita kaji daripada situ, dari segi insurans supaya penghuni ini merasa lebih selesa,” titah Baginda.

Baginda turut menitahkan supaya bantuan dan peruntukan tambahan yang bersesuaian dikaji bagi membantu keluarga penerima sekiranya diperlukan.

Hargai Bantuan UAE

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, khususnya Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) yang menguruskan Akaun Amanah Rumah Al-Sultan Abdullah.

Baginda turut menghargai peranan kontraktor serta agensi kerajaan yang memberikan bantuan secara langsung dan tidak langsung.

Dalam titah berasingan, Baginda menzahirkan penghargaan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas kerjasama dan keprihatinan membantu rakyat Pahang, khususnya melalui penyediaan kediaman serta bantuan lain yang diperlukan.

“Sekali lagi, saya ingin menyatakan penghargaan atas keprihatinan membantu rakyat saya di Pahang dengan menyediakan rumah dan beberapa bentuk bantuan lain apabila diperlukan.

“Kita sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan umur yang panjang kepada Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan (Presiden UAE) serta keselamatan Yang Amat Mulia sekeluarga serta rakyat UAE,” titah Baginda.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Ahmed Al Dhaheri; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Datuk Ahmad Islanizam A Halim.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved