Pembinaan Rumah Ru'RASA perlu utamakan kualiti - Al-Sultan Abdullah

15 Sep 2026 • 9:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pembinaan Rumah Ru'RASA perlu utamakan kualiti - Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah berkenan menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penerima pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Ru’RASA Fasa 2 Daerah Kuantan dan Jerantut di sini pada Isnin. Foto: FB Kesultanan Pahang
Image from: Pembinaan Rumah Ru'RASA perlu utamakan kualiti - Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah berkenan menyantuni salah satu keluarga penerima pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Ru’RASA Fasa 2 Daerah Kuantan dan Jerantut di sini pada Isnin. Foto: FB Kesultanan Pahang

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan supaya pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) dilaksanakan dengan mengutamakan aspek kualiti.

Titah Baginda, pembinaannya tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana kediaman berkenaan merupakan tempat perlindungan dan ‘syurga’ bagi keluarga penerimanya.

Baginda bertitah, projek dijangka melibatkan pembinaan 790 unit rumah di negeri ini bertujuan menyediakan kediaman selesa kepada rakyat Pahang.

“Saya harap cuba percepatkan, dan saya harap dalam soal pembinaan untuk rumah ini, walaupun harga itu nampak murah, janganlah beri hasil pembinaan ini secara sambil lewa sahaja. Saya nak ada kualiti sikitlah.

“Jangan buat sambil lewa kerana saya anggap ini ialah syurga kepada satu-satu keluarga, di mana sekali pun, selagi di atas bumi Pahang ini,” titah Paduka Baginda yang dikongsi melalui Facebook Kesultanan Pahang.

Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Ru’RASA Fasa 2 Daerah Kuantan dan Jerantut di pekarangan tapak Rumah Ru’RASA, Tanjung Lumpur, di sini pada Isnin.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tungku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

**media[3647916]**

Pada majlis itu, seramai 11 penerima menerima kunci rumah masing-masing, membabitkan enam penerima dari daerah Kuantan dan lima penerima dari daerah Jerantut.

Sementara itu, Baginda juga mengingatkan semua penerima Rumah Ru'RASA agar tidak sesekali menjual atau menyewakan rumah berkenaan kepada pihak lain.

Tegas Baginda, rumah yang dikurniakan itu tidak boleh dijual atau disewakan kerana ia disediakan khusus untuk manfaat penerima dan keluarga mereka.

“Janganlah fikir nak menjual atau nak sewa. Sewa pun saya tak bagi. Ini khas untuk awak semua. Kalau Allah dah panggil kita (meninggal dunia), turun (diwarisi) ke anak cucu pula.

“Tak boleh dijual atau disewa,” tegas Baginda.

Dalam titahnya, Baginda turut mengesyorkan supaya satu kajian dibuat bagi mewujudkan skim insurans secara berkelompok kepada semua penghuni Rumah Ru’RASA bagi melindungi kediaman mereka daripada risiko seperti kebakaran dan kejadian tidak diingini.

“Saya nak nyatakan kalau boleh, semua penghuni-penghuni rumah Rumah Ru’RASA ini, kalau boleh buat satu insurans berkelompok.

“Supaya mereka (penerima) ini dan rumah-rumah ini dilindungi daripada kebakaran atau sebagainya. Kita kaji daripada situ, dari segi insurans supaya penghuni ini merasa lebih selesa,” titah Baginda.

Paduka Baginda turut menitahkan supaya bantuan dan peruntukan tambahan bersesuaian turut dikaji bagi membantu keluarga penerima sekiranya diperlukan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved