Tak Bai bergegar, sindiket dadah disyaki dalang

2 Oct 2026 • 1:04 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tak Bai bergegar, sindiket dadah disyaki dalang

TAK BAI (THAILAND): Kawalan dan pemeriksaan keselamatan di Daerah Tak Bai di sini, dinaikkan ke tahap tertinggi selepas bom motosikal diletupkan di hadapan stesen minyak PT di Mukim Cheh Heh, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam menyusul sehari selepas pihak berkuasa Wilayah Narathiwat merampas 600 kilogram syabu bernilai kira-kira RM10.9 juta dalam satu operasi khas di daerah itu, Rabu lalu.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) bagaimanapun berkata, polis dan tentera masih menyiasat sama ada leupan bom motosikal itu ada kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan di daerah itu.

Katanya, siasatan awal pihak berkuasa mendapati bom buatan sendiri (IED) dipasang pada sebuah motosikal roda tiga dan diletakkan di Lebuhraya 4327 berhampiran stesen minyak PT di Ban Pulanibong, Mukim Cheh Heh di sini.

“Penyerang dipercayai meletupkan IED itu menggunakan alat kawalan jauh menyebabkan kerosakan teruk kepada stesen minyak terbabit. Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jurucakap itu berkata, lokasi kejadian adalah laluan utama penduduk,termasuk pelancong Malaysia dari Tak Bai menuju ke bandar Narathiwat, Pattani dan Songkhla.

Katanya, susulan kejadian itu, pihak berkuasa meletakkan kawasan itu ke tahap tertinggi, mengepung dan menyelaras dengan agensi berkaitan untuk meneruskan langkah keselamatan dan mencegah insiden selanjutnya.

Ujarnya, pihak berkuasa masih menyiasat butiran dan mengumpul maklumat yang berkaitan, termasuk kemungkinan serangan bom itu ada kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah yang membalas dendam. – UTUSAN

The post Tak Bai bergegar, sindiket dadah disyaki dalang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved