
KOTA TINGGI – Niat murni sekumpulan remaja untuk menyelamatkan seorang rakan yang terkapai-kapai di laut bertukar tragedi apabila empat daripada mereka dilaporkan lemas dalam kejadian di perairan Tanjung Lompat, di sini pagi semalam.
Kejadian pukul 7.45 pagi itu berlaku ketika 16 remaja datang ke lokasi berkenaan untuk berkhemah sejak petang kelmarin.
Empat mangsa yang terlibat ialah Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, Mohamad HtANaiman Fitri Supian, Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Muhamad Thaqif Rayyan Rumainoor.
Rakan mangsa berkata, kejadian berlaku ketika mereka sedang mandi-manda di pesisir pantai sebelum seorang rakan iaitu Thaqif pergi ke kawasan yang lebih jauh.
“Pagi tadi (semalam) kami pergi berendam sekejap. Kemudian Thaqif pergi mandi di kawasan yang agak jauh daripada kami.
“Apabila kami panggil, dia seperti tidak mendengar. Bila kami pandang semula, dia sudah dalam keadaan terkapai-kapai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Menurutnya, mereka menyedari Thaqif yang tidak pandai berenang berada dalam keadaan bahaya sebelum beberapa rakan cuba memberikan bantuan.

Bagaimanapun, usaha tersebut bertukar cemas apabila arus dan ombak kuat menyebabkan mereka yang cuba membantu turut berdepan risiko lemas.
“Kami terus jerit minta tolong. Ramai yang pergi untuk bantu, kira-kira lima orang, tetapi semakin ramai pula yang turut lemas dan tenggelam,” katanya.
Menurutnya, perkhemahan berkenaan merupakan aktiviti pertama dianjurkan kumpulan itu berbanding sebelum ini yang hanya mengadakan pertemuan kecil sesama mereka.
Katanya, tiada siapa menyangka percutian bersama rakan-rakan yang bermula dengan aktiviti santai bertukar menjadi tragedi.
Sementara itu, setakat pukul 6 petang semalam, seorang daripada empat mangsa ditemukan meninggal dunia kira-kira lima jam selepas kejadian, manakala tiga lagi masih hilang.
Mangsa yang ditemukan ialah Alif Taqiuddin dan mayatnya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian pada pukul 1.25 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohd. Syamsuri Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.20 pagi sebelum operasi SAR dilancarkan.

Menurutnya, enam remaja berusia 16 tahun dilaporkan turun mandi di kawasan berkenaan sebelum dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.
“Dua daripada mereka diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi hanyut dan dikhuatiri lemas.
“Hasil operasi pencarian, pada pukul 1.25 petang, pasukan penyelamat bersama orang awam berjaya menemukan mayat pertama pada kedudukan kira-kira 800 meter dari tempat mangsa lemas,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk proses pengecaman dan bedah siasat.
Mohd. Syamsuri berkata, operasi SAR kini ditumpukan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang.
Katanya, operasi berkenaan membabitkan kekuatan kira-kira 30 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
The post ‘Takut bila tengok makin ramai tenggelam’ appeared first on Kosmo Digital.






