
KANGAR: Tidak ada sebarang tindakan perobohan atau pengusiran peniaga di Kampung Wai di sini, sebaliknya mereka hanya dialihkan sementara waktu atas faktor keselamatan dan keselesaan.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, tindakan itu juga bagi memberi laluan kepada persiapan menjelang penganjuran Pesta Air Antarabangsa Perlis 2026 bulan depan.
Abu Bakar berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini turut mengadakan sesi perbincangan secara harmoni bersama 33 peniaga di kawasan berkenaan.
“Yang penting sekali, tiada sebarang penganiayaan kepada peniaga dan tiada perobohan yang dilakukan oleh JPS, hanya sekadar menasihati dan berbincang.
“Peniaga-peniaga yang berniaga di tebing sungai kita cuba alihkan ke tempat lebih selesa atas faktor keselamatan, selain bagi memberi laluan kepada perasmian Pesta Air Antarabangsa Perlis,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama peniaga di Kampung Wai, Kuala Perlis semalam.
Dalam pertemuan tersebut, segala isu berbangkit juga berjaya diselesaikan.
Abu Bakar berkata, pada masa ini, kerajaan negeri juga dalam proses menyediakan kemudahan tetap yang lengkap dan teratur di kawasan berkenaan bagi keselesaan peniaga mencari sumber pendapatan.
Beliau berkata, peniaga terlibat juga akan diminta menandatangani surat perjanjian melibatkan pematuhan keselamatan memandangkan tapak sedia ada belum mempunyai fasiliti kekal yang lengkap.
“Kita nak bantu peniaga. Kerajaan negeri dan JPS tidak bertindak zalim, malah setakat ini tiada sebarang bayaran atau sewa dikenakan kepada peniaga,” katanya.
Ujar Abu Bakar, dakwaan bahawa kerajaan negeri bakal menyerahkan kawasan itu kepada pelabur luar juga adalah tidak tepat.
Katanya, ahli politik dan mana-mana pihak dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak benar yang mencetuskan kemarahan rakyat.
“Mengenai dakwaan kononnya kawasan ini akan diserahkan kepada pelabur luar sehingga menjejaskan peniaga sedia ada, itu tidak betul. Sekiranya ada pelaburan pada masa hadapan untuk mencantikkan kawasan, keutamaan kios tetap diberikan kepada peniaga tempatan,” katanya.-UTUSAN
The post Tidak ada pengusiran, penganiayaan terhadap peniaga Kampung Wai – MB appeared first on Utusan Malaysia.






