
PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan pengguna lif yang didakwa tidak memberi keutamaan kepada seorang lelaki berkerusi roda mengundang rasa marah dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, @Ari.yeo8, dia memuat naik sekeping gambar memaparkan seorang lelaki berkerusi roda menunggu di hadapan sebuah lif yang dipenuhi penumpang.
Difahamkan kejadian berlaku di sebuah stesen tren ketika orang ramai pergi bekerja pagi tadi.
Dakwanya, lelaki tersebut tiba lebih awal, namun penumpang lain yang datang kemudian tiba-tiba memenuhi lif berkenaan secara serentak sehingga menyebabkan individu orang kurang upaya (OKU) itu terpaksa menunggu giliran untuk menaikinya.
Dalam hantaran susulan, pemilik hantaran tersebut juga mengingatkan orang ramai supaya memberi keutamaan kepada pengguna berkerusi roda kerana golongan itu mungkin tidak mempunyai pilihan lain untuk bergerak antara aras.
“Tolonglah, sedikit kesedaran awam. Kalau nampak pengguna kerusi roda sedang menunggu lif, mungkin boleh beri mereka masuk dahulu.
“Bagi kebanyakan kita, menggunakan tangga, eskalator atau menunggu lif seterusnya masih menjadi pilihan. Tetapi bagi mereka, mungkin tidak,” katanya.
Menurutnya, perkara tersebut bukan berkaitan layanan istimewa sebaliknya soal aksesibiliti, timbang rasa dan memberi keutamaan kepada individu yang benar-benar memerlukannya.
Dia turut menyeru supaya golongan wanita hamil, OKU dan warga emas diberi keutamaan ketika menggunakan kemudahan awam seperti lif.
Perkongsian tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya bersetuju bahawa masyarakat perlu lebih peka terhadap keperluan golongan berkenaan.
Seorang pengguna menyifatkan tindakan tidak memberi laluan sebagai mementingkan diri dan kurang empati terhadap OKU.
“Semua pentingkan diri, tak ada empati dekat OKU,” tulis @Eisya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna berharap masyarakat Malaysia dapat mengubah pemikiran dan lebih bertimbang rasa ketika berada di tempat awam.
“Tolonglah warga Malaysia, sampai bila nak kena ada ‘mindset’ (pemikiran) dunia kelas ke-20,” kata @Wan.
Dalam pada itu, seorang pengguna yang sering menggunakan pengangkutan awam berkata, dia kerap melihat situasi yanh sama berlaku seperti hantaran tersebut.
“Saya perhatikan kebanyakannya wanita yang sihat tubuh badan akan bergegas keluar dari tren dan berlari ke lif semata-mata mahu masuk terlebih dahulu. Dalam masa sama, mereka yang membawa bagasi, kereta sorong bayi, menggunakan tongkat dan sebagainya terpaksa menunggu. Malah, ada individu buta yang terpaksa menggunakan eskalator,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Uncle tu sampai dulu tapi…’ appeared first on Kosmo Digital.





