amree30/07/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai — YLI Holdings Berhad berjaya mengurangkan kerugian bersihnya kira-kira 18.9% kepada sebanyak RM44.73 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2026 (FY26).
Menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia, perkembangan positif itu dipacu terutamanya oleh faktor peningkatan perolehan syarikat tersebut serta nilai hapus kira inventori yang lebih rendah.
Tambahnya, kumpulan berkenaan mencatatkan lonjakan perolehan kira-kira 37.2% kepada RM65.89 juta bagi FY26, berbanding sebanyak RM48.01 juta yang dicapai pada tahun kewangan sebelumnya (FY25).
"Prestasi lebih kukuh ini disumbangkan secara signifikan oleh Damini Corporation Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya yang baru diambil alih, dengan sumbangan kewangan penuh kini diambil kira," kata YLI.
Bagaimanapun, kumpulan turut melaporkan peningkatan dalam perbelanjaan pentadbiran dan kos lain kepada RM42.04 juta berbanding hanya sebanyak RM19.23 juta yang pernah dicatatkannya sebelum ini.
Kenaikan ini berpunca daripada pelunasan bangunan serta kemasukan perbelanjaan operasi penuh bagi Kumpulan Damini untuk tahun berkenaan selama tempoh 12 bulan daripada cuma tiga bulan pada FY25.

Mengenai prospek masa hadapan, Lembaga Pengarah YLI menjangkakan landskap industri masih lagi kekal mencabar ekoran ketidaktentuan kadar inflasi global, dan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS).
"Konflik geopolitik yang berterusan di Ukraine dan rantau Timur Tengah turut dikenal pasti boleh memberi kesan besar kepada pertumbuhan sekiranya terus berlarutan lebih lama," kata kumpulan berkenaan.
Meskipun berdepan dengan banyak cabaran, syarikat optimis permintaan terhadap produk infrastruktur air seperti paip besi mulur, paip keluli lembut dan meter air akan bertambah baik secara beransur-ansur.
Keyakinan tersebut ujar YLI, didorong oleh pelbagai usaha intensif daripada pihak kerajaan dalam meningkatkan infrastruktur dan penyampaian air bagi mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW).
Setakat 31 Mac 2026, ia mengekalkan kedudukan tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM22.22 juta, dan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, syarikat tidak mencadangkan sebarang dividen. - DagangNews.com






