UPSI Terima Kompleks Pusat Kesihatan Baharu, Perkukuh Kebajikan Warga Kampus

Health & Fitness
11 Nov 2025 • 11:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI Terima Kompleks Pusat Kesihatan Baharu, Perkukuh Kebajikan Warga Kampus
Kakitangan UPSI dan JKR bergambar kenangan di Pusat Kesihatan Universiti di Kampus Sultan Azlan Shah. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menerima penyerahan rasmi Projek Pembinaan Kompleks Pusat Kesihatan Universiti di Kampus Sultan Azlan Shah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak dalam satu majlis penuh simbolik dan bersejarah buat universiti pendidikan tertua di Malaysia itu.

Majlis penyerahan berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ir. Haji Ghazali Hizam, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah JKR Negeri Perak, Ir. Farrid Jamaludin, serta Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) UPSI, Sr. Azaharu Mad Bahah @ Bashah.

Turut hadir wakil daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, JKR Negeri Perak, ICAZ Ventures Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama serta wakil Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Projek pembinaan kompleks kesihatan itu mula dilaksanakan pada 19 November 2021 dan siap sepenuhnya pada 11 Ogos 2025. Ia dibangunkan oleh JKR sebagai agensi pelaksana dengan kerjasama kontraktor utama ICAZ Ventures Sdn. Bhd. yang melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut spesifikasi teknikal, keperluan perubatan serta piawaian keselamatan semasa.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, penyiapan kompleks tersebut membuktikan komitmen universiti dalam menyediakan prasarana terbaik bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan warga kampus.

“Kompleks Pusat Kesihatan Universiti ini bukan sekadar kemudahan rawatan, tetapi simbol keprihatinan UPSI terhadap kesejahteraan pelajar dan staf yang menjadi nadi kecemerlangan universiti.

Kemudahan ini juga mencerminkan usaha berterusan universiti memperkukuh sokongan kesihatan dalam ekosistem pembelajaran yang kondusif, selaras dengan agenda universiti sihat dan lestari,” katanya.

Kompleks berkenaan menempatkan pelbagai kemudahan moden termasuk Blok Pesakit Luar, Blok Farmasi, Blok Pergigian, Blok Kecemasan dan Kemalangan, serta dilengkapi Rumah Sisa Klinikal, Rumah Sampah, kemudahan elektrik dan mekanikal lengkap, selain ruang rawatan yang luas dan selesa.

Selain memberi manfaat kepada lebih 20,000 warga UPSI, kompleks kesihatan itu turut berpotensi berfungsi sebagai pusat latihan amali kepada pelajar bidang pendidikan kesihatan, psikologi dan kaunseling, serta menjadi rujukan bagi pengurusan kesihatan kampus di peringkat nasional.

Dengan siapnya kompleks tersebut, UPSI terus melangkah ke hadapan dalam menyediakan persekitaran kampus yang holistik, bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik tetapi turut menitikberatkan aspek kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan warganya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.