![Image from: [VIDEO] Pelajar SMK Za’ba maut: Keluarga mahu tuntut keadilan](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/Kamaruddin-1024x754.jpeg)
SEREMBAN – Keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, mahu keadilan dan penjelasan berhubung kematian pelajar tingkatan dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba yang ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan.
Bapa saudaranya, Kamaruddin Ngatimon, 49, berkata keluarga masih tertanya-tanya mengenai punca kejadian kerana pihak sekolah didakwa tidak memaklumkan kepada keluarga mengenai apa yang berlaku sehingga menyebabkan kematian anak saudaranya.
Menurutnya, keluarga hanya mengetahui keadaan Muhammad Idlan selepas dimaklumkan pihak hospital bahawa anak saudaranya sudah meninggal dunia.
“Saya sangat terkejut apabila terima berita semalam lebih-lebih lagi dengan cara pemergian dia. Pihak sekolah pun tidak maklumkan kes yang melibatkan Allahyarham.
“Sepatutnya pihak sekolah yang perlu maklumkan lebih awal kepada pihak keluarga,” katanya ketika ditemui di perkarangan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, hari ini.
Kamaruddin berkata, hubungan beliau dengan Allahyarham amat rapat kerana sering berkongsi mengenai kehidupan dan persekolahannya setiap kali pulang ke rumah.
Katanya, kali terakhir beliau bertemu Muhammad Idlan adalah kira-kira tiga bulan lalu dan ketika itu Allahyarham tidak menunjukkan sebarang masalah.
“Dia tak ada bagi tahu apa-apa. Saya tanya dia macam mana sekolah, dia cakap okey saja. Belajar macam mana, belajar okey, tak ada apa-apa masalah. Tak ada dia cakap dia kena buli ke apa, tak ada juga,” katanya.
Menurut Kamaruddin, Muhammad Idlan sebelum ini aktif dalam sukan kriket ketika di sekolah rendah dan bercita-cita untuk memasuki sekolah sukan.
Bagaimanapun, selepas diterima masuk ke SMK Za’ba, yang tidak menawarkan sukan kriket, Allahyarham memilih untuk menyertai sukan memanah.
“Dia budak yang pendiam, tidak banyak cakap. Dia pun bukan jenis yang suka cari gaduh atau apa. Dia memang budak yang ‘cool’ (tenang),” katanya.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata Muhammad Idlan yang juga anak sulung daripada tiga beradik sangat rapat dengan adik-beradiknya.
Katanya, adik perempuan Allahyarham yang berada di kem selama dua hari di Alor Gajah ketika kejadian berlaku turut sedih apabila dimaklumkan mengenai keadaan abangnya.
“Dia ingat abang dia cedera biasa-biasa saja. Tapi bila dia dibawa masuk (ke hospital), dia tengok abang dia kena suruh tutup ke apa, dia terus menangis, hampir nak pengsan,” katanya.
Kamaruddin berkata, keluarga kini mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan punca sehingga Allahyarham berada dalam keadaan berkenaan.
“Keluarga memang nak tahu apa punca anak dia jadi macam itu. Sebab pihak sekolah pun tak ada bagi tahu keluarga apa-apa. Harapan saya sebagai bapa saudara adalah memang keluarga mahu tuntut keadilan sewajarnya,” katanya.
Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Gemencheh.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pelajar tingkatan dua, SMK Za’ba iaitu Muhammad Idlan, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan dan dipercayai menjadi mangsa buli. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Pelajar SMK Za’ba maut: Keluarga mahu tuntut keadilan appeared first on Kosmo Online.






