amree03/11/2026 - 16:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov – Pelantikan bekas Ketua Polis Negara ke-11, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai penaung Vince Group dilihat sebagai langkah memperkukuh kepimpinan, tadbir urus korporat dan hala tuju jangka panjang kumpulan hartanah berkenaan.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata, pengalaman luas beliau sendiri dalam perkhidmatan awam, kepimpinan institusi dan strategi organisasi berpasukan dijangka membantu kumpulan tersebut untuk membina pengurusan yang lebih kukuh serta profesional.
Pelantikan berkenaan jelasnya, turut menandakan satu lagi perkembangan penting yang positif dalam usaha Vince Group memperkukuh kedudukan sebagai ekosistem hartanah bersepadu dan berpangkalan di Malaysia sejak ditubuhkan pada 2013.
"Mohamad Fuzi merupakan Ketua Polis Negara dari 2017 hingga 2019, dengan pernah bertugas sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Pengarah Pasukan Petugas Khas Counter Terrorism Bukit Aman dan Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman," katanya.
Vince Group pula menurut kenyataan tersebut, menghimpunkan pelbagai perkhidmatan berkaitan hartanah di bawah satu platform, merangkumi pemerolehan strategik, jualan, pembiayaan, pengubahsuaian, pengurusan hartanah dan pendidikan.
Kumpulan itu turut memanfaatkan kerjasama strategik dengan pemaju, pemerolehan hartanah secara pukal, penambahbaikan aset serta penyelesaian pengurusan hartanah bagi meningkatkan nilai dalam sektor berkenaan.

Selain itu tambanya, platform pendidikan pelaburan hartanah dan keupayaan teknologi dalaman syarikat tersebut menjadi antara komponen yang menyokong usaha kumpulan mengembangkan operasi serta membina pertumbuhan mampan.
Pelantikan Mohamad Fuzi turut diraikan kumpulan berkenaan menerusi Majlis Town Hall dan Upacara Pelantikan Penaung Vince Group secara rasmi pada 12 Oktober 2026.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau turut mengiktiraf kepimpinan, visi dan semangat keusahawanan pengasas kumpulan, Datuk Vincent Nee, selain komitmen serta kesepaduan yang ditunjukkan oleh pasukan Vince Group.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan kejayaan jangka panjang bukan sekadar bergantung kepada pertumbuhan perniagaan, sebaliknya perlu berteraskan profesionalisme, integriti, akauntabiliti dan kepercayaan.
Mohamad Fuzi turut menyatakan komitmen untuk berkongsi pengalaman serta memberikan panduan bagi menyokong pembangunan dan hala tuju kumpulan itu pada masa hadapan.
Dengan pengukuhan asas organisasi dan perkembangan ekosistem hartanahnya, Vince Group berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada pembinaan kerjasama jangka panjang serta penciptaan nilai mampan dalam industri hartanah. - DagangNews.com






