
BANGKOK – Seorang wanita cedera selepas van dipandunya melanggar seekor gajah liar yang melintas secara tiba-tiba di sebatang jalan di Thailand, lapor portal berita Must Share News.
Kejadian berlaku sekitar pukul 3.15 pagi (waktu tempatan) di Laluan 344 dalam wilayah Rayong, baru-baru ini.
Pemandu van dikenali sebagai Sujira, 50, cedera di kepala dan muka, menyebabkan dia menerima empat jahitan.
Pasukan kecemasan bergegas mengeluarkan Sujira dari dalam kenderaan dan memberikan bantuan awal sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta di wilayah Chonburi.
Anak mangsa, Thanadon Khamdee berkata, mereka sedang menuju ke pasar dari rumah sebelum melihat objek besar tiba-tiba melintas.
“Disebabkan kawasan itu gelap, kami menyangka objek tersebut hanya bayang pokok yang besar. Tidak lama kemudian kami menyedari ia seekor gajah,” kata Khamdee.
Haiwan yang cedera itu berjalan ke terusan sebelum hilang di dalam hutan, lapor laman berita Khaosod. – AGENSI
The post Wanita kemalangan, tidak perasan gajah melintas appeared first on Kosmo Digital.






