
KULIM – Suasana malam di kawasan Taman Kemuning di sini bertukar cemas apabila seorang wanita dipercayai mengalami masalah kesihatan mental mengamuk sambil menggenggam pisau pemotong sayur di kedua-dua tangannya, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, wanita berusia 34 tahun terbabit dipercayai merosakkan beberapa kenderaan sebelum memasuki sebuah restoran di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja kilang yang mendakwa keretanya dirosakkan ketika dia berada di sebuah kedai burger.
Menurutnya, Perodua Myvi milik pengadu yang diletakkan di bahu jalan berhampiran deretan kedai menjadi sasaran wanita berkenaan.
“Wanita yang tidak dikenali itu datang menghampiri kenderaan pengadu sebelum memecahkan cermin besar bahagian belakang dan lampu belakang kereta berkenaan.
“Suspek dipercayai menggunakan pisau pemotong sayur yang dipegang pada kedua-dua belah tangan ketika melakukan perbuatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syamsul berkata, tindakan wanita itu turut menimbulkan kebimbangan orang ramai apabila dia dilihat menjerit dan bertindak agresif sebelum memasuki sebuah restoran.
Katanya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang menerima maklumat berhubung kejadian segera ke lokasi dan berjaya menahan wanita berkenaan.
“Suspek ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
The post Wanita mengamuk pegang dua pisau, rosakkan kereta di Kulim appeared first on MYBERITA.






