KUANTAN - Seorang lelaki warga emas kerugian RM218,239.24 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan kripto tidak wujud melalui laman sosial pada Julai lalu.
Mangsa berusia 65 tahun yang menjalankan perniagaan produk penapis air di sekitar daerah ini tertarik dengan tawaran pelaburan berkenaan sebelum menekan pautan yang diberikan dan menyertai sebuah kumpulan WhatsApp.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa kemudiannya diberikan arahan untuk membuat pelaburan dan dijanjikan pulangan tinggi berdasarkan keuntungan yang dipaparkan menerusi aplikasi Uphold.
"Percaya dengan tawaran tersebut, mangsa telah membuat sebanyak 53 transaksi melalui akaun Luno, Mxglobal dan Trust Wallet ke akaun pelaburan Uphold dengan jumlah keseluruhan RM218,239.24," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pada 20 Ogos lalu, akaun Uphold milik mangsa dibekukan sebelum dia diminta membayar RM30,000 sebagai cukai bagi tujuan menyahbekukan akaun berkenaan.
Azry Akmar menambah, bagaimanapun mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan selain gagal membuat pengeluaran wang daripada akaun tersebut.
"Mangsa kemudiannya dimaklumkan ahli keluarga bahawa skim pelaburan berkenaan disyaki sebagai penipuan sebelum membuat laporan polis.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM218,239.24 membabitkan wang simpanannya," jelasnya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Azry Akmar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, khususnya yang diterima menerusi media sosial dan aplikasi pesanan.
Tegasnya, orang ramai turut dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu terhadap kesahihan sesuatu skim pelaburan sebelum menyerahkan wang atau melakukan sebarang transaksi.
"Selain itu, orang ramai disaran membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
"Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis," katanya.






