
KUALA LUMPUR: Persaingan mendapatkan kerusi ketua jurulatih beregu campuran negara masih terbuka apabila beberapa nama tempatan berada dalam pertimbangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas pemergian Nova Widianto.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, antara nama yang masih dalam radar termasuk Tan Bin Shen, Jeremy Gan, Yap Kim Hock dan Lee Wan Wah, namun keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung pada 19 September hingga 4 Oktober ini.
Menurutnya, senarai calon berkenaan masih dalam perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei dan pihaknya belum membuat keputusan mengenai individu yang bakal mengisi jawatan berkenaan.
“Ya kita banyak pilihan tempatan. Kita masih ada Tan Bin Shen,Jeremy Gan, Kim Hock, Wan Wah dan masih ada banyak nama.
“Lee Wan Wah juga ada, kita kemungkinan boleh, tetapi kalau untuk sekarang Wan Wah dia sudah dengan (Jepun) sehingga 2028, Jeremy sampai 2028 dengan Hong Kong. Jadi kita tidak tahu,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Rexy berkata, situasi itu menyebabkan BAM perlu mencari penyelesaian terbaik kerana sebahagian calon yang mempunyai pengalaman luas kini terikat dengan tugasan kejurulatihan di luar negara.
Tan Bin Shen dan Jeremy masing-masing kini bersama pasukan Hong Kong, manakala Lee Wan Wah mengendalikan barisan beregu lelaki Jepun, sementara Kim Hock pula bertugas di Akademi Badminton Zhengzhou, China.
Dalam pada itu, sementara BAM masih mencari ketua jurulatih tetap, Teo Kok Siang sudah terlebih dahulu memikul tanggungjawab sebagai jurulatih beregu campuran dan terus dihantar mengiringi Chen Tang Jie-Cheng Su Yin ke China Masters yang sedang berlangsung minggu ini.
Rexy berkata, keputusan pantas itu membolehkan Kok Siang terus memulakan tugasnya di gelanggang pertandingan sebelum pelantikan rasmi berkuat kuasa, sekali gus memperlihatkan keperluan segera mengisi kekosongan selepas Nova meninggalkan BAM pada 31 Julai lalu.
“Dia memang secara rasmi (mula tugas) 1 September, tetapi 26 Ogos dia sudah mula di sini kerana dia perlu mengiringi Tang Jie dengan Su Yin di China Masters.
“Sebelum itu kita memang tiada jurulatih kerana Nova sudah pergi, Lutfi ke Pontianak dan Hazwan pula menjaga pasukan di Malaysia, jadi saya tanya Kok Siang sama ada dia boleh terbang ke China Masters dan dia kata boleh,” katanya. – UTUSAN
The post BAM masih buru jurulatih tempatan appeared first on Utusan Malaysia.






