Belajarlah melupakan ex

13 Apr 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Belajarlah untuk melepaskan, kerana kadang-kadang ketenangan itu datang bila kita berhenti memegang sesuatu yang sudah lama pergi. Gambar hiasan.

HARI ini Merak Jalanan nak cerita tentang apa yang menarik di platform Threads sejak beberapa hari lalu. Antaranya adalah cerita ‘perang mulut’ yang berlaku di antara grup fans si polan dengan si polan.

Siapa yang kaki Threads, fahamlah siapa yang Merak Jalanan maksudkan.

Jika ada yang tertanya-tanya, siapa lagi jika bukan fans artis yang dahulunya pernah berkahwin kemudian berpisah dengan mendapat liputan meluas media.

Ingatkan selepas sebulan dua tamatlah cerita mereka tetapi rupa-rupanya walau salah seorang sudah pun move on terlebih dahulu, namun kisah mereka tak pernah lagi berhenti setakat ini.

Merak Jalanan pelik kenapa dah lebih setahun tapi masih lagi ada fans yang seperti tak puas hati dengan penceraian mereka.

Merak Jalanan sarankan kepada fans semua belajarlah untuk melupakan ex.

Kalau kita fikir balik, kadang-kadang kita yang terlebih emosi. Kita yang marah, kita yang pertahankan, walhal artis tersebut kenal kita pun tidak.

Bau-bau bacang pun tidak tetapi kita yang beriya-iya seperti duduk serumah dengan artis tersebut.

Sokong artis tu tak salah, tapi biarlah berpada. Jangan sampai bergaduh dengan orang lain hanya sebab kisah lama yang dah tak relevan.

Lebih baik gunakan masa dan tenaga untuk perkara yang lebih bermanfaat seperti memperbaiki diri atau memberi sokongan secara positif.

Akhirnya, setiap kisah ada penghujungnya. Kalau mereka yang melalui hubungan itu sendiri boleh meneruskan hidup, kenapa tidak kita sebagai pemerhati?

Belajarlah untuk melepaskan, kerana kadang-kadang ketenangan itu datang bila kita berhenti memegang sesuatu yang sudah lama pergi.