Chin Hin Group Property lancar The NeX bernilai RM449.4 juta di Kota Damansara

14 Aug 2026 • 4:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Chin Hin Group Property lancar The NeX bernilai RM449.4 juta di Kota Damansara Image from: Chin Hin Group Property lancar The NeX bernilai RM449.4 juta di Kota Damansara johardy14/08/2026 - 16:03 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Chin Hin Group Property Berhad (CHGP) secara rasmi menceburi segmen pembangunan hartanah industri menerusi The NeX, hab industri dan komersial bersepadu di Kota Damansara dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM449.4 juta.

 

Langkah cabang hartanah Chin Hin Group Bhd itu dibuat selepas pemegang saham meluluskan pengambilalihan tapak industri pegangan pajak seluas 16,222 meter persegi bernilai RM66 juta pada 13 Ogos 2026.

 

The NeX akan merangkumi 242 unit gudang sembilan tingkat yang menawarkan ekosistem perniagaan moden dan bersepadu secara menegak untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengendali logistik, pengedar, pemain e-dagang, pengendali bilik pameran dan pengguna industri ringan.

 

Berbeza daripada pembangunan industri konvensional, The NeX menggabungkan fungsi perniagaan dengan kemudahan gaya hidup termasuk taman santai atas bumbung, gimnasium, gelanggang pickleball, dewan acara, kemudahan persidangan dan ruang parkir.

 

Konsep itu direka bagi meningkatkan kecekapan operasi selain menyediakan persekitaran yang sesuai kepada penghuni jangka panjang untuk membangun dan mengembangkan perniagaan mereka.

 

Terletak dalam kawasan perindustrian Kota Damansara, pembangunan itu mempunyai akses ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), sekali gus menghubungkannya dengan pusat komersial dan koridor logistik utama di Lembah Klang.


 

solar

 

solar

 

Portfolio pembangunan meningkat kepada RM6.3 bilion

Pengambilalihan itu memperluas portfolio CHGP daripada segmen kediaman dan komersial kepada hartanah industri, selain meningkatkan keseluruhan saluran pembangunan kumpulan kepada kira-kira RM6.3 bilion menerusi 11 projek yang sedang dilaksanakan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CHGP, Chang Tze Yoong berkata, kemasukan ke segmen industri merupakan langkah strategik untuk memperkukuh keupayaan pembangunan kumpulan melangkaui hartanah kediaman dan komersial.

 

“Kami mengambil pendekatan berdisiplin terhadap peluang ini dengan menjalankan penilaian pasaran secara menyeluruh sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pengambilalihan tersebut.

 

“Lokasi tapak dalam koridor perindustrian yang matang, digabungkan dengan rangkaian lebuh raya yang baik dan bekalan ruang industri berkualiti yang terhad, meletakkan The NeX pada kedudukan untuk meraih permintaan berterusan daripada kumpulan perniagaan yang semakin berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

The NeX menawarkan unit industri yang boleh disesuaikan mengikut perkembangan perniagaan, dilengkapi kemudahan bagi meningkatkan produktiviti, kerjasama dan kecekapan operasi.

 

Chang berkata, pembangunan kediaman kekal sebagai teras strategi pertumbuhan CHGP, manakala The NeX menyediakan saluran pertumbuhan tambahan dalam segmen hartanah industri.

 

The NeX dijangka siap pada 2029

Menurutnya, projek itu membolehkan CHGP mengambil bahagian dalam segmen yang semakin berkembang sambil memanfaatkan kepakaran pembangunan dan pendekatan penciptaan nilai jangka panjang kumpulan.

 

Galeri jualan The NeX dibuka secara rasmi pada Jun 2026 bagi memberi gambaran awal mengenai pembangunan itu kepada bakal pembeli dan pelabur.

 

CHGP berkata, projek itu menerima minat pasaran yang menggalakkan sejak pembukaan galeri jualannya.Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan, The NeX dijadualkan siap pada 2029. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved