Johor pasang ‘jerat psikologi’, Selangor jadi sasaran emas SUKMA 2026

21 Aug 2026 • 4:46 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Johor pasang ‘jerat psikologi’, Selangor jadi sasaran emas SUKMA 2026

PETALING JAYA – Johor menghantar amaran awal kepada Selangor apabila tampil dengan keyakinan tinggi untuk meranapkan impian tuan rumah dalam perebutan pingat emas bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium MB Petaling Jaya, malam esok.

Kemenangan besar 4-0 ke atas Perak pada aksi separuh akhir semalam menjadi suntikan moral buat skuad kendalian Pedro Collado Celda, selain memperlihatkan kemampuan mereka mengawal permainan dan menunggu masa sesuai untuk menghukum lawan.

Celda berkata, ketenangan pemain ketika berdepan kesukaran untuk mendapatkan gol menjadi antara faktor utama kejayaan Johor mara ke pentas final.

“Prestasi (menentang Perak) sangat luar biasa. Bukan mudah untuk membuka jaringan, tetapi amat bagus apabila kami berjaya menjaringkan gol pertama pada waktu yang tepat.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira kami berjaya melangkah ke perlawanan akhir,” katanya.

Menurutnya, Johor kini akan mengalihkan fokus sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Selangor yang dianggap antara pasukan terbaik dalam kejohanan kali ini.

“Kami tahu Selangor adalah pasukan yang bagus, tetapi kami juga tidak kurang hebatnya dan cuba untuk bawa pulang pingat emas ke Johor,” katanya.

Bagi Selangor pula, pengendali I. Arulchelvan mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera jika mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

Katanya, faktor usia dan pengalaman pemain menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian menjelang pertemuan getir itu.

“Banyak benda yang perlu diperbaiki sebab semuanya pemain muda. Mereka ada banyak ruang untuk tingkatkan persembahan.

“Walaupun dalam tempoh singkat ini, kami akan cuba buat sesuatu yang baik,” katanya.

Pertembungan Johor dan Selangor dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan memburu peluang terbaik untuk menutup kempen SUKMA 2026 dengan pingat emas, sekali gus menjadikan aksi final esok sebagai pentas penentuan siapa lebih tenang ketika tekanan memuncak.

The post Johor pasang ‘jerat psikologi’, Selangor jadi sasaran emas SUKMA 2026 appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved