SHAH ALAM - Kerajaan Pahang memperuntukkan subsidi berjumlah RM2.7 bilion bagi membantu rakyat memiliki kediaman menerusi pelbagai skim perumahan negeri, termasuk Rumah Makmur.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, sebanyak kira-kira 29,000 unit rumah menerusi pelbagai skim telah dibangunkan di negeri itu sejak pelaksanaannya sehingga kini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,372 unit rumah turut disediakan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 yang layak sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri membantu rakyat memiliki kediaman.
"Kerajaan negeri telah memberi subsidi RM2.7 bilion untuk memberi kemudahan kepada orang ramai.
"Jumlah itu agak besar kerana kita memberi subsidi kepada Rumah Makmur dan juga menyediakan rumah percuma," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.






