Perairan Kuala Gula bebas jerebu, lubuk buru ikan kelas A

29 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Perairan Kuala Gula bebas jerebu, lubuk buru ikan kelas A

MISI utama adalah memancing ikan di perairan yang selama ini menjadi ‘port’ melepaskan umpan dan jauh dari kesibukan kota.

Kehadiran jerebu sememangnya melemaskan rakyat di negara ini, khususnya di Lembah Klang.

Namun, perancangan berbulan-bulan untuk menjayakan aktiviti memancing di Kuala Gula, Perak tetap diteruskan oleh sekumpulan kaki pancing.

Pemancing veteran dari Puchong, Selangor, Mohd. Ariffin Abu Bakar, 57, menganggap, perairan Kuala Gula merupakan lubuk ikan dan medan memancing yang tidak pernah jemu ‘menghadiahkan’ ikan diidamkan.

“Berani saya katakan, di sinilah syurga ikan merah, jenahak, sembilang dan senangin. Ada juga ikan lain seperti gegerut, berbolos, kurau, sembilang, kerapu, pari, gelama dan duri.

“Apa yang penting, trip ke Kuala Gula bukan misi untuk ‘kumpau’,” katanya ketika ditemui K-Variasi baru-baru ini.

Mohd. Ariffin berkata, misi memancing di Kuala Gula pada awalnya diramalkan berhadapan masalah jerebu akibat kebakaran hutan di negara jiran.

Katanya lagi, dua minggu sebelum program memancing bermula, Indeks Pencemaran Udara (IPU) sentiasa disemak menerusi laman web MetMalaysia.

“Kita pergi untuk berseronok dengan kawan-kawan sambil menunggu ikan makan umpan, jadi saya tidak mahu perkara buruk berlaku.

“Alhamdulillah, selepas bergerak dari jeti ke tengah laut, cuaca semakin terang dan langsung tidak ada jerebu,” katanya.

Image from: Perairan Kuala Gula bebas jerebu, lubuk buru ikan kelas A
Pari merupakan salah satu ikan gred A yang menjadi buruan ahli trip.

Ceritanya, rombongan lima pemancing bersama seorang tekong itu bermula seawal pukul 8 pagi dengan menaiki bot bersaiz sederhana dan selesa untuk semua penumpang.

Jelasnya lagi, cuaca yang cerah memudahkan tekong untuk mengemudi bot menuju ke lubuk ikan di kawasan muara dan umbai.

“Untuk trip kali ini, kami menggunakan teknik casting, apungan dan dasar mengikut kesesuaian masing-masing.

“Umpan digunakan terdiri daripada udang hidup, isi sotong dan ikan kembung,” katanya yang memiliki pengalaman selama 20 tahun memancing.

Menurut Mohd. Ariffin, selepas umpan dilabuhkan, satu demi satu ikan berjaya didaratkan oleh pemancing.

Jelasnya lagi, ikan jenahak, gelama dan kerapu berjaya dipancing dengan selamat, walaupun berlaku aksi ‘tarik-menarik’ yang agak dramatik.

“Memancing dengan sahabat pelbagai peringkat usia dari 20-an hingga 50-an menjadikan suasana cukup ceria tetapi terkawal.

“Namun, jika ada pemancing yang lambat umpannya dipagut ikan, mereka sudah pasti akan menjadi ‘bahan’ kawan-kawan lain. Apa yang penting, hasil tangkapan akan dikongsi bersama,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengalaman memancing di Kuala Gula, dia berkata, kegiatan memancing amat meriah di kawasan tersebut, di mana tempahan bot perlu dibuat tiga hingga empat bulan lebih awal.

Jelasnya, keadaan jerebu yang tidak menentu ketika ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada pemancing untuk merancang trip mereka.

“Antara cabaran memancing di sini adalah angin ribut yang membawa hujan lebat secara tiba-tiba.

“Apabila cuaca tidak menentu, air laut akan sejuk dan kotor, sekali gus menyebabkan ikan kurang aktif memakan umpan,” ujarnya.

Namun katanya, pemancing perlu mendengar petua dan arahan tekong untuk mendapat ikan kelas A seperti kurau, pari, senangin mahupun jenahak.

Tambahnya, dalam trip itu, lebih 100 ekor ikan pelbagai jenis berjaya dibawa pulang kumpulannya untuk dimasak dan dimakan bersama keluarga.

“Aktiviti memancing di Kuala Gula tidak pernah mengecewakan. Apa yang paling penting, pemancing bukan sahaja membawa pulang ikan, malah kenangan bersama rakan-rakan,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

The post Perairan Kuala Gula bebas jerebu, lubuk buru ikan kelas A appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved