
Tuaran: Atlet boules cilik di Sabah diberi ruang untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran menerusi penganjuran Kejohanan Boules Peringkat Negeri Sabah 2026 sekali gus membuka peluang melahirkan lebih ramai pelapis untuk diketengahkan ke pentas lebih tinggi.
Pengerusi Penganjur yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tambulaong, Zorimas Mohd Kudin berkata, penganjuran pertandingan yang diadakan sekolah berkenaan, pada Selasa, memberi pendedahan serta pengalaman kepada peserta dalam kalangan murid sekolah rendah, selain mencungkil bakat baharu dalam sukan tersebut.
Katanya, penglibatan murid dalam boules atau petanque bukan sahaja meningkatkan kemahiran permainan, malah membentuk disiplin, ketahanan mental, keyakinan diri dan semangat berpasukan.
“Pertandingan ini memberi peluang kepada murid untuk menimba pengalaman dan menguji kemampuan mereka dalam suasana yang lebih kompetitif.
“Diharapkan bakat yang dikenal pasti dapat terus dibimbing dan diasah supaya mampu mencapai tahap lebih tinggi serta mewakili Sabah pada kejohanan yang lebih besar,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan kejohanan berkenaan di SK Tambulaong, di sini.
Mengulas lanjut, Zorimas berkata pasukan yang menyertai pertandingan ini perlu menjadikan setiap perlawanan sebagai platform untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kemahiran.
Kejohanan berkenaan menyaksikan SK Tambulaong, Tuaran muncul juara, manakala SK Kampung Bahagia B, Pensiangan menduduki tempat kedua.
Tempat ketiga pula dikongsi SK Takuli, Beaufort dan SK Kampung Bahagia A, Pensiangan.
Pertandingan yang berlangsung di SK Tambulaong itu menghimpunkan penyertaan 10 sekolah dengan keseluruhan 14 pasukan.
Sekolah yang mengambil bahagian ialah SK Lok Yuk, Telipok; SK Tiong Perungusan; SK Taginambur; SK Ulu Kalabakan; SK Kampong Libang; SK Tungou; SK Kampung Bahagia, Nabawan; SK Pekan Beaufort; SK Takuli dan SK Tambulaong selaku tuan rumah.
Daripada jumlah itu, SK Ulu Kalabakan dan SK Kampung Bahagia, Nabawan masing-masing menghantar dua pasukan, manakala SK Tambulaong menampilkan tiga pasukan. Tujuh sekolah lain masing-masing menghantar satu pasukan.
Majlis penutupan dirasmikan Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji.
Ghazali berkata boules mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan dalam kalangan murid sekolah di negeri ini dengan sokongan berterusan pihak sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti.
“Pendedahan melalui pertandingan berkenaan mampu menjadi titik permulaan kepada kelahiran atlet yang mampu mengharumkan nama sekolah, daerah dan negeri pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Datuk Mohammad Ghazali menyumbang RM5,000 kepada SK Tambulaong bagi menyokong pembangunan serta aktiviti sukan sekolah dan merasmikan Kempen Zero Waste Zero Hassle Peringkat Sekolah yang memberi fokus kepada pengurusan sisa kertas, plastik dan kaca dalam usaha membudayakan kesedaran menjaga kebersihan serta alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.
Turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Unit Bakat Murid (Sukan), Sektor Pembangunan Murid, PPD Tuaran, Ardi Abdul Adis; Presiden Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah, Murkam Hussin; Ketua Arbitre Sukan Boules Petanque Negeri Sabah, Mohd Hammiieddy Esa serta Pegawai Teknikal Kejohanan Boules Peringkat Negeri Sabah, Farah Wahidah Roslan.






