
PETALING JAYA: Ketua Kontinjen (CDM) Selangor, Abbas Salimmi Che Adzmi enggan mendabik dada biarpun tuan rumah terus mengungguli carta kutipan pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Menurut Abbas Salimmi, selagi wisel penamat belum ditiup, peluang masih terbuka dan sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam persaingan sukan.
“Dalam sukan, selagi mana belum sampai wisel penamat, selagi itu masih ada ruang dan peluang bagi semua pihak.
“Jadi bagi saya, kita tidak boleh mendabik dada dengan keadaan sekarang kerana macam-macam boleh jadi dalam pertandingan sukan.
“Selagi wisel penamat belum ditiup, selagi itulah ruang dan peluang terbuka luas untuk mana-mana pihak mendapatkan lebih banyak emas,” katanya.
Selangor kini menghampiri sasaran asal 80 pingat emas selepas mengumpul 63 emas setakat pukul 6 petang semalam, sekali gus meletakkan kontinjen negeri itu dalam kedudukan selesa menjelang hari terakhir temasya.
Bagaimanapun, Abbas Salimmi mengakui tidak semua sasaran emas yang ditetapkan sebelum ini berjaya direalisasikan, namun kejayaan dalam beberapa acara yang tidak disasarkan menjadi bonus buat kontinjen tuan rumah.
“Ada sukan yang kita prospek emas tetapi tidak dapat di sana, manakala ada juga sukan yang kita tidak sasar emas tetapi menyumbangkan emas.
“Ini satu perkara yang tidak dijangka dan menjadi bonus kepada kontinjen Selangor.Ia sedikit sebanyak menampung semula emas yang kita sasarkan tetapi tidak dapat,” katanya.
Menurutnya, beliau bersama Exco Sukan Selangor, Najwan Halimi dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor turut mengadakan perbincangan bagi menetapkan sasaran akhir kontinjen.
Abbas berkata, pihaknya optimis Selangor mampu mencapai sekurang-kurangnya 80 emas sekiranya tiada aral melintang pada hari terakhir saingan.
“Sasaran kami adalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 80 pingat emas. Insya-Allah kita optimis dengan sasaran itu.
“Buat masa ini, kami berkeyakinan, insya-Allah kalau tidak ada apa-apa aral melintang, 80 pingat emas itu kontinjen Selangor boleh dapat,” katanya.
Setakat ini, sukan renang cemerlang menyumbangkan 12 pingat emas buat kontinjen Selangor pada temasya SUKMA kali ini.-UTUSAN
The post Selangor yakin raih 80 emas appeared first on Utusan Malaysia.






