
KUALA LUMPUR – Hasrat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk kembali menaiki podium acara 100 meter (m) Sukan Asia musnah selepas gagal menamatkan perlumbaan final akibat kecederaan di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, sebentar tadi.
Azeem yang meraih gangsa pada edisi Hangzhou dilihat terbaring di pertengahan trek selepas mengalami kecederaan ketika perlumbaan berlangsung, sekali gus gagal mencatat sebarang masa pada penampilan final keduanya di temasya berkenaan.
Ketika Azeem berdepan detik mengecewakan, pelari Thailand, Puripol Boonson mencuri tumpuan apabila meledak catatan sensasi 9.90 saat (s) untuk merangkul pingat emas.
Catatan tersebut turut menyaksikan Puripol memperbaharui rekod kejohanan yang dilakukannya sendiri pada separuh akhir apabila mencatat 9.91s, selain menebus kekecewaan selepas sekadar meraih perak pada edisi terdahulu.
Dua pelari Oman melengkapkan podium dengan Ali Al Balushi meraih perak menerusi catatan 10.04s, manakala Malham Al Balushi membawa pulang gangsa selepas menamatkan perlumbaan dalam 10.11s.
Terdahulu, Azeem mengesahkan tempat ke final selepas menduduki tempat kedua separuh akhir ketiga dengan catatan 10.25s di belakang pelari Korea Selatan, Joeljin Nwamadi yang merekodkan 10.17s.
Seorang lagi wakil negara, Mohd. Umaira Subri pula terkandas di separuh akhir selepas menduduki tempat ketujuh, namun tetap membawa pulang catatan peribadi terbaik 10.39s.
Dalam perkembangan sama, harapan Shereen Samson Vallabouy untuk mengulangi kejayaan meraih pingat gangsa di Hangzhou turut berakhir selepas gagal melayakkan diri ke final 400m wanita apabila menamatkan saringan ketiga di tempat keempat dengan catatan 54.03 saat (s).
Shereen yang berlari di lorong tujuh bermula baik dan sempat mendahului perlumbaan, namun dipintas tiga pencabar pada 100m terakhir dengan Zahra Manouja dari Iran memenangi saringan menerusi catatan 52.00s diikuti Jonbibi Humova dari Uzbekistan (52.05s) dan wakil India, Prachi (53.46s).
Nasib sama menimpa Umar Osman dalam 400m lelaki apabila menamatkan saringan kedua di tempat keenam dengan catatan 46.91s. KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Azeem ‘rebah’, Puripol cipta sensasi 9.90s appeared first on Kosmo Online.






