Sukma 2026: Tangguh pembedahan demi emas

17 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Tangguh pembedahan demi emas

BERDEPAN kecederaan serius sehingga dinasihatkan doktor melupakan impiannya, namun semangat kental atlet angkat berat Perak, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani berjaya memastikan pingat emas menjadi miliknya pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, semalam.

Lebih bermakna, kejayaan itu hadir ketika atlet berusia 21 tahun berkenaan melalui tempoh sukar selepas mengalami kecederaan pada pergelangan tangan akibat kemalangan motosikal pada September tahun lalu.

Qistina berkata, doktor sebelum ini menasihatkannya supaya menjalani pembedahan selepas mengalami keretakan tulang scaphoid dan ligamen, namun dia menangguhkan prosedur itu demi merealisasikan sasaran di pentas Sukma dan memilih untuk terus menjalani latihan walaupun terpaksa menahan kesakitan.

Pada aksi kategori angkat berat wanita 48 kilogram (kg), itu Qistina meraih pingat emas selepas mengumpul angkatan keseluruhan 154kg menerusi 72kg dalam snatch dan 82kg bagi clean & jerk untuk mengatasi pencabar dari Terengganu, Nur Arissya Nadia Mohamad Nor Wardidan atlet Pahang, Nur Dania Nasyiha Abdullah.

“Sepatutnya saya menjalani pembedahan, tetapi saya tetap berlatih walaupun sakit. Saya fikir, takkan saya mahu angkat bar kosong saja ketika berada di atas pentas. Saya tetap teruskan latihan sebab saya mahu capai sasaran pada Sukma terakhir ini,” katanya.

Qistina mengakui pada awalnya menyimpan impian untuk memecahkan rekod kebangsaan milik Irane Jane Henry, namun keadaan fizikal yang belum sempurna memaksanya lebih berhati-hati.

Kejayaan itu meneruskan kecemerlangan Qistina di pentas Sukma selepas edisi lalu dia turut memenangi pingat emas kategori 45kg wanita sambil mencatat tiga rekod kebangsaan ketika itu iaitu 65kg snatch, 79kg clean & jerk dan 144kg keseluruhan pada Sukma Sarawak 2024.

The post Sukma 2026: Tangguh pembedahan demi emas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved