Garis masa lengkap PRU-15: Apa yang berlaku sejak 10 Okt?

Politics
18 Nov 2022 • 8:16 PM MYT
Newswav
Newswav

Newswav

Image from: Garis masa lengkap PRU-15: Apa yang berlaku sejak 10 Okt?
Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14, 10 Oktober 2022. Gambar oleh Bernama

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Berikut adalah garis masa lengkap dan semua peristiwa penting yang berlaku sejak Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober:

18 Nov 2022 – Esok ialah hari pengundian. Masa depan negara kita mungkin akan berubah. Jangan lupa baca Panduan PRU15: Semua yang anda perlu tahu sebagai pengundi untuk memudahkan proses mengundi anda. 

Selain itu, SPR telah putuskan Pilihan Raya bagi Parlimen Padang Serai tidak akan diadakan serentak dengan PRU15 esok, sebaliknya ditetapkan pada 7 Dis.

16 Nov 2022 – Calon kerusi PH untuk Padang Serai, Karupaiya Mutusami, meninggal dunia hari ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Jumaat ini bagi membincangkan penetapan tarikh penting untuk Parlimen Padang Serai.

15 Nov 2022 – Hari ini tarikh pengundian awal. Sejumlah 94.72 peratus atau 212,961 pengundi melibatkan anggota keselamatan dan pasangan mereka telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi PRU15, dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, di Sabah hari ini.

Pengundi positif COVID-19 akan diasingkan daripada pengundi lain bagi mengelak risiko penularan. Mereka juga akan diberi keutamaan apabila beratur di pusat mengundi.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli telah membuat laporan polis berhubung ucapan pelakon, Zul Huzaimy yang membabitkan isu perkauman ('kafir harbi') dan kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mohamad Nasir yang menimbulkan kontroversi.

14 Nov 2022 – Kerajaan mengumumkan 18 dan 19 Nov sebagai hari cuti umum bagi memudahkan urusan tangggungjawab mengundi untuk PRU15.

13 Nov 2022 – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik hari ini masih kekal tenang walaupun dihalau dengan cara kasar oleh seorang warga emas ketika berkempen.

Walaupun PRU15 bakal berlangsung, masih ada pengundi pos terutamanya pengundi luar negara yang belum menerima kertas undi. Malah ada antara mereka memaklumkan hanya akan menerima kertas undi pos pada Sabtu ini (hari pengundian).

12 Nov 2022 – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hadir ke program Kebangkitan Rakyat Sepanggar Pakatan Harapan (PH). Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir. Anifah turut berucap tentang niatnya untuk membantu calon-calon daripada PH. 

11 Nov 2022 – Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir meminta maaf atas kenyataannya yang mengaitkan pengundi Pakatan Harapan & Barisan Nasional sebagai bakal ahli neraka, selepas videonya tular dan seterusnya mengundang kemarahan rakyat Malaysia.

10 Nov 2022 – Pengundi diingatkan bahawa telefon bimbit tidak dibenarkan semasa proses pengundian.

Pulau Pinang juga mengisytiharkan Jumaat, 18 November sebagai cuti umum.

Pada hari ini juga, Gerakan Tanah Air (GTA) melancarkan manifesto 'Agenda Baharu Malaysia' yang berteraskan kepada lima prinsip iaitu kerajaan berwibawa; bebas rasuah; pentadbiran bersih, cekap dan amanah; tebus kedudukan ekonomi Malaysia dan kembali jadi Harimau Asia serta berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

9 Nov 2022 – Calon Sungai Buloh UMNO Khairy Jamaluddin hari ini nyatakan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri negara. Beliau nekad membuktikan kelayakannya dengan memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Sementara itu, Selangor dan Negeri Sembilan memberi cuti umum sempena PRU15 pada 18 November, sehari sebelum hari pengundian, untuk memudahkan pemilih balik kampung.

8 Nov 2022 – Kempen PRU15 kawasan Parlimen Ayer Hitam Batu Pahat, Johor dicemari apabila lebih daripada 200 bendera parti PH didakwa telah dicabut dan dibuang ke dalam parit.

7 Nov 2022 – Manifesto BN pula dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) yang melibatkan 99 tawaran berfokus kepada kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan, dan lain-lain.

UMNO telah menggugurkan keahlian 4 pemimpin termasuk Shahidan Kassim, Zahidi Zainul Abidin, Ismail Abd Muttalib dan Azhar Ahmad, apabila mereka menjadi calon parti lain.

6 Nov 2022 –  PN mengemukakan manifesto 'Bersih, Prihatin, Stabil' (PN BEST) yang memberi tumpuan merancakkan ekonomi dan mencipta sejuta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

5 Nov 2022 – PRU15 mencatat sejarah dengan merekodkan seramai 945 calon bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, jumlah tertinggi dalam sejarah PRU negara.

Parlimen P115 Batu menyaksikan lapan orang calon bakal merebut kerusi panas tersebut. Malangnya, Chua Tian Chang akan dipecat dari PKR kerana bertanding sebagai calon Bebas untuk kerusi Parlimen Batu. Menurut presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini merupakan dasar parti di mana anggota yang bertanding sebagai calon Bebas tanpa mengira justifikasi akan dipecat.

Walaupun telah digugur oleh BN, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sah mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada PRU-15 atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, satu rusuhan berlaku di Tenom, Sabah sehingga pihak berkuasa terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi mententeramkan keadaan. Kejadian tersebut berlaku selepas pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM), Datuk Peter Anthony ditolak atas dasar SPR.

4 Nov 2022 – Calon BN untuk Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos telah menafikan kes beliau dikenakan perintah kebankrapan yang boleh menyebabkan pencalonannya pada PRU-15 ditolak. Jamal menyanggah dakwaan Teresa Kok yang mendakwa bahawa beliau tidak sepatutunya dicalonkan kerana kes tersebut, yang masih dalam proses rayuan.

Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah mengumumkan calon yang akan bertanding di 7 kerusi Parlimen dan 2 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).  Datuk Zuraida Kamaruddin akan mempertahankan kerusi yang ditandinginya sebelum ini iaitu Ampang. Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Datuk Larry Sng Wei Shien masing-masing kekal bertanding di kerusi Segamat dan Julau.

Pada hari ini juga, penyandang kerusi Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan PRU15 adalah medan terakhir beliau bertanding. 

3 Nov 2022 – Selepas diketepikan oleh UMNO, penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa telah mendaftar pertubuhan Muafakat Nasional (MN) dengan beliau sendiri memegang jawatan sebagai presiden.

2 Nov 2022 – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan para calon masing-masing sempena PRU15.

Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga telah menyelesaikan konflik mereka dan dijangka mengumumkan calon bagi PRU15 dalam masa terdekat. Pemempin parti tersebut Larry Sng dan Zuraida Kamaruddin akan menyelaraskan masalah pentadbiran secara budi bicara selepas PRU15.

Presiden Parti MUDA Syed Saddiq Syed diumumkan kekal bertanding bagi mempertahankan kerusi di Parlimen Muar. Syed Saddiq yang merupakan penyandang kerusi berkenaan akan berentap dengan calon BN, Helmy Abdul Latif dan calon PN, Abdullah Husin.

1 Nov 2022 – Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun diumumkan sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Sepang.

Manakala, BN menggugurkan beberapa nama besar daripada PRU15 seperti penyandang Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim, penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bekas PM Muhyiddin Yassin pula akan mengetuai barisan calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU15, yang kini sasar kemenangan di 169 kerusi.

31 Okt 2022 – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu pada PRU15.

Pakatan Harapan (PH) sedia memansuhkan tol di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) jika mereka diberi mandat membentuk kerajaan selepaas PRU15, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

30 Okt 2022 – Selepas tawaran rundingannya untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) ditolak, Gerakan Tanah Air (GTA) dijangka bertanding secara solo pada PRU15.

Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phalrolrazi Mohd Zawawi dipecat daripada jawatannya kerana ingkar perlembagaan parti.

Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen juga secara umum melepaskan jawatannya dalam Bersatu selepas tidak dicalonkan semula di Parlimen Tangga Batu. Beliau sedih khidmat selama enam tahun tidak dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan.

Seterusnya, Pakatan Harapan (PH) telah menolak untuk mengadakan kerjasama pilihan raya bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM).

29 Okt 2022 – Dalam kenyataan Facebook Datuk Larry Sng yang mendakwa masih Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah, beliau menggantung Datuk Zuraida Kamaruddin dan 12 Ahli Majlis Tertinggi sebagai ahli parti tersebut.

28 Okt 2022 – Datuk Zuraida Kamaruddin disahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang dalam PRU-15.

24 Okt 2022 – Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan dua TPM, seorang dari Semenanjung dan seorang dari Sabah atau Sarawak (Borneo). Pada hari ini juga, PAS mengesahkan penyertaan pada lebih 60 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam PRU15.

Penyandang kerusi Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh juga telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya pada PRU15. Beliau akan memberi laluan kepada calon lebih muda, seiring dengan hasrat UMNO untuk meremajakan parti.

23 Okt 2022 –  Barisan Nasional (BN) menawarkan tiga slot untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya parti itu berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi PRU15. Zahid Hamidi berkata jawatan tiga Timbalan Perdana Menteri itu masing-masing dikhususkan untuk pemimpin dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

22 Okt 2022 – Pakatan Harapan (PH) kini sedia menghadapi PRU15 tanpa penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad. 

21 Okt 2022 – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Tambun, Perak. Beliau memilih kawasan yang bukannya mudah untuk mendapatkan majoriti besar, selain rasa bertanggungjawab untuk melonjakkan gerakan PH di negeri-negeri utara.

Sebuah laporan menyatakan bahawa Presiden UMNO, Zahid Hamidi tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu. Tempat beliau mungkin akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurulhidayah atau pun orang kanan beliau sendiri.

Manakala, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak kisah dituduh ‘menjilat semula ludah’ apabila bersetuju untuk bekerjasama dengan bekas musuh politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan BN dan UMNO. Menurutnya, segala sikap ego perlu diketepikan kerana perjuangan untuk bangsa dan tanah air melebihi segalanya.

20 Okt 2022 – SPR menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya umum ke-15. Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November.

18 Okt 2022 – SPR telah menerima surat pemakluman berhubung pembubaran DUN ke-14 tiga negeri iaitu Pahang, Perlis (pada 14 Okt), dan Perak. Di Pahang, sebanyak 42 kerusi DUN akan dipertanding manakala Perlis melibatkan 15 kerusi dan Perak mempunyai 59 kerusi.

BN hanya akan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik, khususnya PAS, bagi membentuk kerajaan campuran jika gabungan itu gagal memperoleh kemenangan majoriti. Kata Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu perlu dilaksanakan bagi membentuk kerajaan yang stabil demi memastikan kebajikan rakyat dan ekonomi negara akan lebih terjamin.

15 Okt 2022 – PH mengumumkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan DUN masing-masing. Fokus tiga kerajaan negeri itu kini lebih tertumpu ke arah masalah mendesak berkait banjir.

Pada hari yang sama, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu telah membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU15.

14 Okt 2022 – UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Khamis memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15. Halni berikutan keputusan PAS untuk memperkukuh kerjasama dalam PN.

Pada masa yang sama, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bersedia untuk sekali lagi bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam PRU-15. Anwar berkata pintu itu sentiasa terbuka berlandaskan prinsip tertentu dan bukan hanya semata-mata untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

13 Okt 2022 – ADUN Pelangai dan juga bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob bersara hari ini, setelah 36 tahun berbakti kepada rakyat.

Pada hari yang sama, parti MUDA mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan logo PH untuk bertanding dalam PRU. Hari ini juga, pengasas BERSATU Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dan mantan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Mohamed Jidi Yaakob sah menyertai PKR.

Pada masa yang sama, PAS berputus untuk tidak membubarkan DUN di tiga negeri yang diterajuinya serta mengukuhkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa sebarang bantahan. PAS kini menerajui tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

12 Okt 2022 – Pakatan Harapan (PH) berputus untuk bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam menghadapi PRU15. 

11 Okt 2022 – Bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Anwar Ibrahim. GTA terbuka untuk bekerjasama dengan PKR. Masalahnya, Anwar tidak mahu bekerja dengan Mahathir untuk PRU15.

Pada hari yang sama, SPR umumkan bahawa mereka akan bermesyuarat 20 Oktober ini bagi membincang dan menentukan tarikh penting PRU-15.

10 Okt 2022 –  Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembubaran Parlimen petang ini. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRU15 juga telah dibuka.